Wednesday 10 September 2014




BAB 3 : SISTEM PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN  NEGARA







SISTEM PENTADBIRAN MALAYSIA
 
MALAYSIA merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistemDemokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang mana Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong berperanan sebagai Ketua Negara.Sebagai pelengkap kepada pembentukan negara, Perlembagaan Persekutuan telah digubal dan menjadi punca kuasa serta sumber perundangan utama negara.
PERLEMBAGAAN Persekutuan menjelaskan struktur pembahagian kuasa dalam sistem pentadbiran negara yang meliputi Badan Perundangan(Legislative), Badan Eksekutif (Executive) dan Badan Kehakiman(Judicial) serta peranan Negeri serta perhubungan antara kedua-duanya.


TAKRIFAN

SISTEM

Sistem ialah satu set komponen-komponen yang saling berkait dan berfungsi bersama-sama untuk mencapai matlamat-matlamat tertentu (Kenegaraan Malaysia, 1988).

PENTADBIRAN

Suatu proses pelaksanaan dasar-dasar yang telah dimaktubkan untuk tujuan mencapai objektif organisasi (Kerajaan).

NEGARA

Sesuatu masyarakat politik yang mempunyai sempadan yang tertentu, mempunyai penduduk, mempunyai Kerajaan yang teratur, dan mempunyai kedaulatan keupayaan untuk mengawal hal ehwal dalam negeri serta kebebasan mengadakan hubungan dengan negara-negara lain.

DEMOKRASI

Sistem pemerintahan/politik dimana rakyat mempunyai suara mutlak dalam menentukan Kerajaan melalui pilihanraya.

PERLEMBAGAAN

Sebuah dokumen atau dokumen-dokumen yang mengandungi undang-undang tertinggi bagi mewujudkan satu sistem Kerajaan yang teratur.
 
PARLIMEN

Badan Perundangan Persekutuan yang terdiri  daripada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

SISTEM DEMOKRASI BERPARLIMEN?  
        
Istilah demokrasi berasal daripada Bahasa Yunani, iaitu DEMOKRATIKA – Demos bermaksud Rakyat dan Kratia adalah Pemerintah. “The government of the people, by the people and for the people” – “Kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan untuk rakyat”.

      Sistem Demokrasi Berparlimen bermaksud rakyat dapat melibatkan diri dalam sistem pentadbiran negara.
    Rakyat berpeluang membentuk Kerajaan melalui pilihanraya danbebas memilih perwakilan bagi mengurus negara.
      Pengamalan Sistem Demokrasi Berparlimen bertujuan untuk memperlihatkan landasan pemerintahan bagi sesebuah negara adalah berteraskan kepada kebebasan/demokrasi.
      Parlimen ialah institusi terunggul dalam sesebuah negara yang mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi.
      Salah satu syarat dalam Sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga badan di dalam sistem pemerintahan, iaitu PerundanganEksekutif dan Kehakiman.
      Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

 RAJA BERPERLEMBAGAAN?
 
Raja Berperlembagaan bermaksud Raja yang memerintah mengikut kuasa yang diberikan kepada baginda (SPB Yang Di-Pertuan Agong) oleh Perlembagaan. Baginda harus bertindak atas nasihat Kabinet atau nasihatseorang Menteri yang bertindak dibawah kuasa am Kabinet (biasanya Perdana Menteri).
Sebagai Ketua Negara Malaysia, Yang DiPertuan Agong berada di kemuncak ketiga-tiga bidang kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Yang DiPertuan Agong mempunyai keutamaan yang melebihi semua orang di Malaysia dan tidak boleh didakwa dalam perbicaraan mana-mana Mahkamah. Baginda merupakan lambang kedaulatan dan perpaduan negara.

Pemilihan 

Yang DiPertuan Agong dipilih dari kalangan sembilan orang Raja Melayu oleh Majlis Raja-Raja mengikut aturan yang terkandung dalam jadual ketiga, Perlembagaan Malaysia.
Setiap Raja boleh dipilih menjadi Yang Di-Pertuan Agong, kecuali baginda belum cukup umur, atau sengaja tidak mahu dipilih, atau difikirkan tidak layak oleh Majlis Raja-Raja dengan undi sulit atas sebab lain.
Raja yang pertama dalam senarai pemilihan dan mendapat sokongan daripada sekurang-kurangnya empat orang Raja akan ditawarkan jawatan ini selama lima tahun melainkan baginda meletakkan jawatan sebelum tempoh berkenaan atau dilucutkan jawatan oleh Majlis Raja-Raja.
Isteri Yang Di-Pertuan Agong digelar Raja Permaisuri Agong dan mempunyai keutamaan selepas Yang Di-Pertuan Agong.

Kuasa Eksekutif 

Kuasa eksekutif adalah terletak pada Yang Di-Pertuan Agong. Walau bagaimanapun, baginda harus bertindak atas nasihat Kabinet atau Perdana Menteri.
Yang Di-Pertuan Agong berhak mendapat apa-apa maklumat mengenai Kerajaan Persekutuan yang boleh diperolehi oleh Kabinet.
Semasa Majlis Raja-Raja membincangkan perkara-perkara mengenai dasar negara, baginda diiringi oleh Perdana Menteri.

Hubungan Dengan Parlimen 

Yang Di-Pertuan Agong merupakan satu daripada tiga komponen Parlimen ( disamping Dewan Rakyat dan Dewan Negara).
Baginda boleh memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen.
Yang Di-Pertuan Agong boleh juga memberi ucapan dalam mana-mana Majlis Parlimen.
Rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu mendapat persetujuan (kecuali sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 66) Yang Di-Pertuan Agong sebelum dijadikan undang-undang.
 
Hubungan Dengan Kehakiman 

Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung, Hakim-hakim Besar Mahkamah Tinggi dan Hakim-hakim lain Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong, yang bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Yang Di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mengampun segala kesalahan yang dibicarakan dalam Mahkamah Tentera, segala kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Labuan) dan segala hukuman yang dijatuhkan dalam Mahkamah Syariah di Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

Tugas-tugas Lain

Yang Di-Pertuan Agong merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata dan Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan negeri baginda sendiri.
Yang Di-Pertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.

Kuasa Budi Bicara 

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang Di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicaranya sendiri dalam tiga perkara, iaitu:
Pelantikan Perdana Menteri;
Memperkenan atau menolak permintaan pembubaran Parlimen;
Meminta supaya diadakan suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja.

Larangan 

Terdapat beberapa perkara yang tidak boleh dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong. Di antara perkara-perkara tersebut ialah:
            (i)        Tidak boleh dengan giatnya melibatkan
                        diri dalam perniagaan;
            (ii)       Tidak boleh memegang jawatan bergaji;
            (iii)      Tidak boleh meninggalkan Malaysia selama
                        tempoh yang melebihi lima belas hari
                        kecuali dengan persetujuan Majlis Raja-
                        Raja atau kerana membuat lawatan rasmi
                        ke sebuah negara lain;
iv)       Tidak boleh menerima apa-apa jua jenis
                        emolumen dari negeri yang baginda 
                        menjadi Raja; dan
            (v)       Tidak boleh menjalankan tugas-tugas
                        sebagai Raja negerinya kecuali tugas-tugas
                        sebagai Ketua Agama Islam, pindaan per-
                        lembagaan dan pelantikan Pemangku Raja
                        atau ahli Jemaah Pemangku Raja.

KONSEP PENGASINGAN KUASA ( DOCTRINE OF POWER)
 
Pengasingan Kuasa (Doctrine of Power) merupakan konsep asas dalam Kerajaan-kerajaan moden terutama bagi negara-negara demokratik.
Doktrin Pengasingan kuasa dimajukan oleh Montesquieu, seorang ahli falsafah terkemuka Perancis.
Idea terpenting mengenai pengasingan kuasa ialah orang atau badan yang sama tidak harus bertanggungjawab bagi membuat undang-undang, menguatkuasakannya dan menghukum orang-orang yang melanggarnya. Dalam erti kata yang ekstrim, doktrin tersebut melibatkan pembahagian kuasa pemerintahan yang jelas antara badan-badan perundangan, eksekutif dan kehakiman tanpa sebarang pertindihan. Sebagai contoh, pihak eksekutif tidak harus mempunyai kuasa dalam hal-hal perundangan atau kehakiman.
Matlamat doktrin pengasingan kuasa ialah untuk mengelakkan pemusatan kuasa di dalam tangan mana-mana pihak. Dari segi amalan, tidak ada negara yang mematuhi doktrin tersebut dengan sepenuhnya, walaupun Amerika Syarikat hampir-hampir berbuat demikian. Di Malaysia, doktrin pengasingan kuasa telah diubahsuai mengikut keperluan kita.
 
BADAN PERUNDANGAN (LEGISLATIVE)
 
PARLIMEN

Parlimen Malaysia adalah badan perundangan dalam sistem Kerajaan Malaysia. Dari segi struktur pentadbirannya, Parlimen Malaysia mengandungi tiga institusi utama, iaitu Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Parlimen Malaysia berfungsi sebagai platform bagi Kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang.

Dari segi prosedur, undang-undang yang dibentang dan diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan diangkat untuk mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, sebelum diwartakan dan dikuatkuasakan di seluruh negara.
Selain penggubalan undang-undang, Parlimen Malaysia berfungsi meluluskan pindaan kepada undang-undang persekutuan,
memeriksa dasar-dasar serta meluluskan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dan hasil-hasil cukai yang baru.
Parlimen Malaysia juga menjadi forum untuk ahli parlimen membahaskan isu-isu berkepentingan nasional serta menyampaikan pandangan dan kritikan berhubung perkara-perkara yang berlaku dalam dan luar negara.

DEWAN  NEGARA
 
Dewan Negara mempunyai 70 orang ahli, iaitu 26 ahli yang dipilih oleh Dewan Undang Negeri sebagai mewakili 13 Negeri ( setiap negeri diwakili oleh 2 orang ahli). 44 ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri termasuk 2 ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 1 dari WP Labuan dan 1 dari WP Putrajaya.
Ahli-ahli Dewan Negara dilantik atau dipilih dari kalangan mereka yang menyumbang khidmat yang cemerlang atau telah mencapai kecemerlangan dalam profesion masing-masing, dalam perdagangan, industri, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau merupakan wakil kumpulan kaum minoriti ataupun kebolehan menjaga kepentingan orang-orang Asli.
Untuk layak menjadi ahli Dewan Negara, seseorang calon hendaklah:
            *          warga negara Malaysia;
            *          umur tidak kurang dari 30 tahun;
            *          waras fikiran;
            *          bukan seorang muflis; dan
            *          tidak mempunyai rekod jenayah
Peranan utama Dewan Negara ialah untuk membahaskan sesuatu Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan lebih mendalam dan teliti.
Ini bererti Dewan Negara dapat memperbaiki Rang Undang-Undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Dewan Negara juga merupakan forum bagi pegawai-pegawai awam dan ahli politik yang berpengalaman (senator-senator) untuk membincangkan perkara-perkara yang menjadi kepentingan umum.

DEWAN  RAKYAT
 
Dewan Rakyat mempunyai 222 ahli, iaitu 165 di Semenanjung, 31 di Sarawak dan 26 di Sabah termasuk  Labuan.
Setiap ahli mewakili satu kawasan pilihanraya (parlimen) yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya.
Mereka memegang jawatan selama lima (5) tahun sekiranya parlimen tidak dibubarkan sebelum tamat tempohnya. Tugas utama Dewan Rakyat ialah untuk membuat undang-undang dengan cara membincang dan meluluskanRang Undang-Undang. Rang Undang-Undang yang diluluskan kemudian dikemukakan bagi kelulusan Dewan Negara dan seterusnya untuk diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Dewan Rakyat juga menyediakan suatu forum dimana dasar-dasar Kerajaan boleh dipersoalkan dan diperdebatkan oleh ahli-ahli.
 
BADAN EKSEKUTIF
( EXECUTIVE)

Badan Eksekutif merupakan badan pemerintah bagi Kerajaan Malaysia. Ia juga dikenali sebagai Kabinet atau Jemaah Menteri.
Badan ini dibantu oleh jentera Pentadbiran Awam (Perkhidmatan Awam) yang bertanggungjawab melaksana dan menguatkuasakan undang-undang, dasar-dasar awam dan mentadbir negara.
Kuasa Jemaah Menteri dijelaskan dibawah Perkara 39, Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan peruntukan tersebut, kuasa memerintah (eksekutif) bagi Persekutuan terletak pada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan kuasa tersebut boleh dijalankan oleh Jemaah Menteri atau Menteri-menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Kabinet.
 
BADAN KEHAKIMAN
( JUDICIARY)

Badan Kehakiman atau Judiciary berperanan menyelesaikan sesuatu bentuk perselisihan atau pertikaian di kalangan rakyat dan di antara rakyat dengan pihak berkuasa.
Perkara 121, Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa kuasa kehakiman bagi Persekutuan terbahagi kepada dua (2) Mahkamah Tinggi, yang mana pewujudan Mahkamah ini adalah bersesuaian dengan bidang kuasa dan tarafnya.
 
Mahkamah Tinggi Bagi Semenanjung
Kuasa kehakiman bagi negeri-negeri di Semenanjung terletak dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Malaya.

Mahkamah Tinggi Bagi Sabah dan Sarawak
Kuasa kehakiman bagi negeri-negeri di Sabah dan Sarawak pula adalah terletak dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Borneo.

Sebagaimana yang ditetapkan oleh Undang-undang Persekutuan, Mahkamah Tinggi yang berkaitan dan mana-mana Mahkamah yang lebih rendah mempunyai bidang kuasa tertentu sebagaimana yang diperuntukkan dibawah undang-undang Persekutuan.
Selain Mahkamah Tinggi, terdapat juga Mahkamah Rayuan yang berperanan memutuskan rayuan terhadap keputusan-keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya.
Manakala, Mahkamah Persekutuan pula mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan-keputusan yang dibuat di peringkat Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau seseorang hakim Mahkamah tersebut.
 
PENGENALAN DAN PERBANDINGAN STRUKTUR ORGANISASI KERAJAAN PUSAT DAN KERAJAAN NEGERI

KABINET – Organisasi Eksekutif Tertinggi 

Kabinet atau Jemaah Menteri merupakan organisasi tertinggi yang menjalankan kuasa eksekutif Kerajaan Pusat (Persekutuan) atas nama Yang Di-Petuan Agong.
Di Semenanjung Malaysia, Majlis Mesyuarat kerajaan(MMK) merupakan organisasi tertinggi yang menjalankan kuasa eksekutif Kerajaan Negeri atas nama Raja atau Yang Di-Pertua Negeri.

Di Negeri Sabah, ia digelar Kabinet dan di Sarawak pula dipanggil Majlis Tertinggi(MT) yang menjalankan kuasa eksekutif Kerajaan Negeri masing-masing atas nama Yang Di-Pertua Negeri. Kabinet/Majlis Mesyuarat Kerajaan/Majlis Tertinggi  merupakan organisasi pembentukan dasar negara yang tertinggi. Ia bertanggungjawab secara kolektif kepada Parlimen/Dewan Undangan Negeri.

Setiausaha Kabinet ialah Ketua Setiausaha Negara di peringkat Persekutuan dan Setiausaha Kerajaan Negeri di peringkat Negeri. Kementerian yang diketuai oleh Menteri merupakan agensi tertinggi Kerajaan. Ia melaksanakan portfolio yang menjadi tanggungjawab seseorang Menteri.Pegawai Pentadbir utama di sesebuah Kementerian peringkat Persekutuan ialah Ketua Setiausaha dan di peringkat Negeri ialah Setiausaha Tetap (Sabah dan Sarawak).


KEMENTERIAN

Jabatan Perdana Menteri (JPM) merupakan Kementerian utama di peringkat Persekutuan dan Jabatan Ketua Menteri (JKM) di peringkat Negeri. Ia bertanggungjawab untuk merancang, merumus dan menyelaras segala dasar negara.
Pegawai Pentadbir Utama di Jabatan Perdana Menteri ialah Ketua Setiausaha Negara, manakala di Jabatan Ketua Menteri atau Pejabat Menteri Besar ialah Setiausaha Kerajaan Negeri.

JABATAN

Jabatan merupakan agensi Kerajaan yang terletak dibawah sesebuah Kementerian. Secara amnya, jabatan-jabatan mempunyai cawangan-cawangan di peringkat negeri dan daerah.
Peranan Jabatan ialah untuk melaksanakan kebanyakan daripada perkara yang terletak dibawah sesebuah Kementerian. Pegawai Pentadbir utama bagi kebanyakan Jabatan ialah Ketua Pengarah (Persekutuan) atau Pengarah (Negeri).
 
SURUHANJAYA

Suruhanjaya merupakan organisasi yang dapat bergerak dengan bebas dalam menjalankan tugas-tugas tertentu secara objektif, adil dan saksama.
Terdapat dua jenis Suruhanjaya yang tetap dalam Kerajaan Persekutuan, iaitu Suruhanjaya Pilihanraya dan Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan
Seperti Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri juga mempunyai Suruhanjaya-suruhanjaya berbentuk tetap atau sementara.
Pegawai Pentadbir utama sesebuah  Suruhanjaya ialah Setiausaha.
 
PERBADANAN AWAM

Terdapat dua jenis Perbadanan Awam di Malaysia, iaitu Badan-badan Berkanun dan Badan-badan Tidak Berkanun (Syarikat Kepunyaan kerajaan). 

Badan-badan Berkanun merupakan organisasi yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen atau Enakmen Negeri. Contoh-contoh Badan Berkanun persekutuan ialah FELDA, MARA, BANK NEGARA dan sebagainya. Contoh-contoh badan Berkanun di peringkat Negeri seperti Sabah ialah Yayasan Sabah, SLDB, PPS, Majlis Daerah dan sebagainya.

Badan-badan Tidak Berkanun pula merupakan organisasi-organisasi yang ditubuhkan dibawah Akta Syarikat dimana Kerajaan mempunyai kepentingan ekuiti. Contoh-contoh Badan Tidak Berkanun ialah MAS, PETRONAS, SFI, Labuan Wood Products, dan sebagainya.

Tujuan penubuhan Perbadanan Awam ialah untuk membolehkanpenglibatan Kerajaan secara terus dan lebih berkesan dalam bidang pembangunan sosio-ekonomi negara serta kegiatan-kegiatan yang tidak diceburi oleh sektor swasta.
Perbadanan Awam ini lebih bebas dan tidak terikat kepada peraturan-peraturan Pentadbiran Awam/Kerajaan yang biasa.
Perbadanan Awam juga mempunyai autonomi yang lebih dalam hal-hal pengurusan dan kewangan.
 
PERINGKAT PENTADBIRAN NEGERI

Di Semenanjung terdapat tiga (3) peringkat Pentadbiran Negeri, iaitu Daerah, Mukim dan Kampung.
Di Sabah terdapat empat (4) peringkat Pentadbiran Negeri, iaitu Daerah, Daerah Kecil, Mukim dan Kampung.
Di Sarawak juga terdapat empat(4) peringkat Pentadbiran Negeri, iaitu Bahagian, Daerah, Daerah Kecil dan Kampung. Bahagian diketuai oleh Residen.
Pentadbiran Daerah diketuai oleh Pegawai Daerah, pentadbiran Mukim diketuai oleh Penghulu di Semenanjung, Penghulu atau Pemanca di Sarawak dan Ketua Anak Negeri di Sabah. Pentadbiran peringkat Kampung diketuai oleh Ketua Kampung dan dibantu oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
 
KERAJAAN  TEMPATAN
(Peringkat Kerajaan Yang Berasingan)

Kerajaan Tempatan (Pihak Berkuasa Tempatan) merupakan suatu peringkat Kerajaan yang berasingan. Tujuan utama penubuhannya ialah untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan mengambil bahagian dalam pengurusan kawasan-kawasan yang diduduki oleh mereka.
Pada masa ini, terdapat dua (2) jenis Kerajaan Tempatan, iaitu : (a) Majlis Perbandaran, dan (b) Majlis Daerah.
Majlis Perbandaran terdapat di kawasan Bandar manakala Majlis Daerah di kawasan Luar Bandar.
Pegawai Pentadbir utama sesuatu Pihak Berkuasa Tempatan ialah Setiausaha atau Pegawai Eksekutif.

 KESIMPULAN

Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem pentadbiran Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
Pembahagian kuasa pemerintahan di antara Badan Perundangan, Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman.
Tiga peringkat pentadbiran, iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

SUMBER : http://abangjoe18.blogspot.com/2012/11/sistem-pentadbiran-negara.html




No comments:

Post a Comment