Wednesday 10 September 2014

Bab 5 :Perpaduan Masyarakat Majmuk Melalui Kepimpinan Budaya Teras


Budaya antara kaum/etnik/budaya/peradaban amat perlu disuburkan dalam konteks negara kita untuk memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional yang merupakan kunci kelestarian kepimpinan kelompok dan budaya teras serta kelangsungan identiti negara.

Walaupun secara umumnya, kita bertuah di Malaysia kerana tidak mengalami konflik perkauman mahupun konflik keagamaan yang membimbangkan, namun beberapa peristiwa yang boleh dianggap serius seperti ‘konflik kampung Medan' mengingatkan kita bahawa mendasari hubungan baik antara budaya adalah juga isu-isu keadilan sosial dan ekonomi. Di dalam konteks ini misalnya amat penting isu kepimpinan kelompok/budaya teras diberi perhatian. Di dalam konteks ini kita perlu memperdalamkan apresiasi kita tentang soal ‘peradaban'; apakah dialog peradaban sebenarnya dan apakah faktor-faktor yang berkaitan dengan kegagalan mahupun kejayaan sesebuah peradaban; apakah situasi dialog di Malaysia serta di persada global dan akhirnya bagaimanakah dialog berperanan dalam proses pemartabatan bangsa dan umat melalui penghayatan agama.

Kajian menunjukkan bahawa hanya apabila sesebuah masyarakat menghayati kehidupan beragama ia akan dapat membangunkan kehidupan seimbang yang merupakan resipi kepada kesempurnaan kemanusiaan dan keharmonian serta ketinggian budaya. Kemunculan tamadun Islam yang telah mencapai tahap ‘golden age'nya (8-14 Masehi) itu misalnya adalah dipengaruhi oleh ransangan nilai dan penghayatan cara hidup Islam bersumberkan risalah wahyu yang digembelingkan dengan penguasaan ilmu keduniaan yang mantap.
Dari perspektif lain pula, contohnya dari sudut pandangan kita di dunia/Kepulauan Melayu ini, dialog telah berlaku sejak awal lagi hasil pertembungan bangsa Melayu setempat dengan yang lain melalui aktiviti perdagangan yang membawa bersamanya proses intelektualisasi dan keagamaan, untuk sekian lama. Oleh itu sepatutnya kemahiran berdialog yang baik dan berhemah telah sebati dengan masyarakat kita. Namun dalam konteks dialog dihargai secara sedar di dalam masyarakat hari ini ia bukanlah merupakan sesuatu yang menjadi keutamaan sehinggalah dua dekad kebelakangan ini.

Untuk dialog menjadi mekanisme perpaduan yang berkesan, di antara lain kita memerlukan pendedahan ilmiah (sejarah, sistem kehidupan dan lain-lain) untuk memungkinkan kita membuat penilaian yang tepat mengenai sifat dan tamadun masing-masing. Penilaian yang tepat ini bukan hanya akan membantu kita meneruskan perasaan muhibbah antara budaya/tamadun sekali pun di masa yang sama kita mengakui wujud perbezaan ketara antara kita, tetapi juga dapat membantu memampankan konsep dan realiti kedudukan Melayu-Islam sebagai contoh. Dalam keadaan dunia dilanda oleh unsur-unsur yang mengikis tradisi, adalah tanggungjawab orang Melayu Islam misalnya untuk memberi kesedaran dan assurance/pengesahan (kepada yang bukan Melayu) tentang betapa idea "kedudukan" mereka tersebut adalah sesuatu yang positif bagi semua pihak. Di sinilah peri pentingnya dialog melalui mana kita boleh membincangkan perkara-perkara yang boleh atau perlu disepakati.

No comments:

Post a Comment